WAWASAN KAMI ADALAH
Satu Angkatan Tentera Darat yang moden, kredibel, seimbang, mampu dan bersedia melaksanakan misinya sebahagian daripada Angkatan Tentera Malaysia
MISI KAMI ADALAH
Mempertahankan kedaulatan Malaysia dan kepentingannya daripada ancaman luar serta membantu pihak berkuasa awam untuk mencapai keamanan dan kemakmuran negara
MATLAMAT KAMI ADALAH
Menentukan tahap kesiagaan yang tinggi (high state of readiness) dan mampu melaksanakan pelbagai bentuk misi dalam pelbagai dimensi (multi mission capable) bagi mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat dan negara
KAMI TETAP GAGAH TETAP SETIA
Kami yakin dan percaya yang Tentera Darat Malaysia adalah sebuah ketampukan yang Gagah dan Setia walau dalam apa jua keadaan. Taat setia kami tidak akan berbelah bagi terhadap Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dan Negara
TENTERA DARAT SATU KERANA BERSATU
Sertai Kami Tentera Darat Malaysia
RumahV3
 
5 NOVEMBER 2021 – Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato' Pahlawan Mohammad bin Ab Rahman telah mewakili Timbalan Menteri Pertahanan menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah (Bina Baru) Inisiatif Perumahan Veteran ATM Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2021 bertempat di Kg. Mata Air, Machang, Kelantan. Pada majlis tersebut, Lt Jen Dato' Pahlawan Mohammad bin Ab Rahman telah membuat penyerahan rumah baru kepada Veteran ATM 6047917 Prebet (Bersara) Mohd Zawawi bin Mustapha yang sebelum ini hanya tinggal secara menyewa.
 
Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM merupakan salah satu inisiatif Peningkatan Kualiti Hidup di bawah Teras 7: Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM, Pelan Strategik MinDef (PSM). Strategi ini memberi penekanan dalam usaha membantu Veteran ATM yang berpendapatan rendah atau miskin dengan menyediakan tempat kediaman yang lebih kondusif dan selesa. Ianya merangkumi dua skop kerja iaitu membina kediaman baharu dan membaikpulih rumah Veteran ATM mengikut syarat yang telah ditetapkan.
 
RumahV2Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan telah memperuntukkan RM 4.7 juta bagi 250 projek perumahan untuk Veteran ATM di seluruh negara. Pada tahun ini program ini merupakan kolaborasi di antara Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Inisiatif ini melibatkan 2 program iaitu bina baru dan baik pulih rumah Veteran ATM dan balu yang layak. JHEV ATM telah memperuntukan kos baik pulih rumah sebanyak RM14,000.00 seunit dan kos bina baharu sebanyak RM55,000.00 (Semenanjung) dan RM65,000.00 (Sabah & Sarawak) seunit yang melibatkan 72 unit baik pulih rumah dan 28 unit bina baharu termasuk kos pemasangan kemudahan elektrik dan air. Kos keseluruhan bagi pembinaan baharu dan baik pulih bagi 100 unit rumah adalah sebanyak RM 2,672,000.00. Pada bulan November 2021, Kementerian Pertahanan telah menambah peruntukan sebanyak RM2.1 juta bagi menampung tambahan baik pulih sebanyak 150 unit lagi rumah Veteran ATM.
 
Kriteria pemilihan Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM terbuka kepada Veteran ATM atau balu yang mana pendapatan isi rumah di bawah jadual Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang telah ditetapkan. Permohonan perlu dibuat melalui pejabat JHEV ATM Cawangan Negeri dimana pemohon bermaustatin. Bagi permohonan baik pulih, rumah yang didiami adalah rumah sendiri atau pusaka dan bukan rumah yang disewa. Skop bantuan baik pulih hanya melibatkan komponen-komponen asas rumah sahaja seperti bumbung, dinding, lantai, tingkap yang tidak melibatkan struktur asal rumah. Manakala bagi permohonan bina baharu pemohon mestilah belum memiliki rumah atau mendiami rumah yang terlalu uzur, tidak selamat diduduki dan tidak ekonomi untuk dibaiki serta memiliki tanah sendiri.
 
Kementerian Pertahanan akan terus berusaha untuk mencari inisiatif baharu dan terus membuat penambahbaikan ke atas skim-skim bantuan sedia ada dalam usaha memperkasakan dan meningkatkan kualiti hidup Veteran ATM. Beberapa inisiatif telah dirancang akan dilaksanakan bagi meningkatkan taraf sosioekonomi, penambahbaikan pengurusan kemudahan bantuan kebajikan, peningkatan kualiti hidup dan pengiktirafan jasa para pejuang negara.