
SUBANG, 30 September 2021 – Malaysian Battalion (MALBATT) 850-9 meneruskan kesinambungan penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), berkhidmat di bawah Misi Pengaman Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon yang dikenali sebagai United Nation Interim Force In Lebanon (UNIFIL).
Kumpulan Pertama MALBATT 850-9, seramai 218 pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP), yang diketuai oleh Kolonel Megat Maz Ardi bin Nohuddin, berlepas ke Lubnan, pada hari ini.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain, berkesempatan untuk turut menghadiri Majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Penyerahan Bendera Malaysia kepada Kumpulan Pertama MALBATT 850-9 ini.

Untuk rekod, MALBATT 850-9 yang berkekuatan seramai 854 pegawai dan anggota LLP, turut disertai oleh tiga pegawai dan 27 anggota LLP dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta seorang Pegawai Awam Kewangan, Kementerian Pertahanan.
Uniknya aturgerak pasukan MALBATT 850-9 ini, apabila memperlihatkan penglibatan pegawai dan anggota LLP wanita paling ramai sejak ATM terlibat di dalam Misi UNIFIL iaitu seramai 11 pegawai dan 75 anggota LLP. Kesemua pegawai dan anggota wanita ini akan melaksanakan misi selama setahun berbanding enam bulan secara penggiliran sebelum ini.
Ini turut membuktikan keupayaan dan kredibiliti pegawai dan anggota LLP wanita ATM yang mampu untuk melaksanakan tugasan operasi. Bahkan, ia turut selari dengan keperluan semasa UNIFIL yang berkehendakkan penglibatan pegawai dan anggota LLP wanita dipertingkatkan bagi melaksanakan tugasan kemasyarakatan bersama-sama dengan wanita-wanita tempatan.
Majlis penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-9, tidak dihadiri oleh ahli keluarga bagi mematuhi Perintah Tetap Prosedur (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan yang ditetapkan oleh kerajaan bagi mengelakkan risiko penularan wabak COVID-19.
Penglibatan warga Tentera Darat Malaysia di dalam Misi PBB sebegini adalah bertepatan dengan Tonggak Keempat Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu “Pengukuhan Hubungan Pertahanan”, yang menekankan kepada kerjasama pertahanan dengan tentera negara serantau mahupun antarabangsa.
