
MENTERI KANAN PERTAHANAN TINJAU PERKEMBANGAN PERINTIS PROGRAM VAKSINASI PANDU LALU TENTERA DARAT MALAYSIA
KUALA LUMPUR, 8 Jun 2021 – Program Vaksinasi Pandu Lalu Peringkat Tentera Darat Malaysia (TDM) yang berlangsung di Dataran PTD, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, memasuki operasi hari kedua pada hari ini.
Bagi melihat dengan lebih jelas perkembangan projek perintis yang akan diimplimentasikan di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Menteri Kanan Pertahanan (MENHAN), YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, yang diiringi oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain, meluangkan masa untuk turun ke lapangan.
YB MENHAN dalam kenyataan media beliau pada 3 Jun 2021 yang lalu telah menyatakan bahawa ATM akan membuka enam buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu, dengan menjadikan Kem Perdana Sungai Besi ini sebagai lokasi projek perintis program ini. Program Vaksinasi Pandu Lalu ini akan memberikan keutamaan suntikan vaksin kepada warga ATM, ahli keluarga mereka serta kakitangan awam Kementerian Pertahanan (KEMENTAH).
Program perintis di Kem Perdana Sungai Besi ini, dilaksanakan pada 7 dan 8 Jun 2021, menyasarkan pemberian vaksin kepada 1,200 orang warga TDM, ahli keluarga serta kakitangan awam KEMENTAH, yang menghuni kediaman di Kem Perdana Sungai Besi. Program vaksinasi ini adalah sejajar dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), agar 80% populasi rakyat Malaysia divaksin, sekaligus memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19. Sementara itu, KEMENTAH akan terus komited untuk memastikan keseluruhan warga ATM, akan menerima suntikan vaksin COVID-19 ini, memandangkan risiko penugasan sebagai petugas barisan hadapan (frontliners) yang sangat terdedah kepada penularan wabak pandemik ini.

Sesungguhnya, keprihatinan YB MENHAN untuk turun padang bagi meninjau pelaksanaan sesuatu program sebegini adalah sejajar dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu “Kelangsungan Misi dan Kesiagaan”, yang menitikberatkan tahap kesiagaan penugasan warga TDM di tahap tertinggi sebilang masa.
Turut hadir ke program tersebut adalah Menteri Kesihatan, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba, Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato' Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral, Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM.