
GEDONG, SIMUNJAN, 23 Februari 2021 - Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain, telah merasmikan Pelancaran Projek Jiwa Murni (PJM) sempena sambutan Hari Tentera Darat Ke-88 bertempat di Gedong, Sarawak.
Sambutan pada tahun ini bertemakan, “Sinergi Tentera Darat Dan Rakyat : Tunjang Kedaulatan Negara”. Tema ini membawa maksud, hubungan erat yang dijalinkan di antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan rakyat adalah salah satu elemen penting bagi mendukung pencapaian 5 Tonggak Perintah Ulung Panglima Tentera Darat sebagaimana yang telah digariskan.

Untuk pelaksanaan PJM di seluruh negara, sebanyak 56 buah projek telah dikenalpasti dan dirancang melibatkan peruntukan kira-kira RM 3 juta. Keseluruhan projek ini melibatkan kerjasama serta peruntukan daripada kerajaan negeri, pemimpin setempat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Jumlah projek-projek seumpama ini akan bertambah dari semasa ke semasa.
Sementara itu, untuk PJM di Sarawak, Kerajaan Negeri Sarawak telah bersetuju untuk memberikan peruntukan sebanyak RM 1.5 juta bagi melaksanakan PJM meliputi tiga kawasan iaitu Gedong, Simunjan dan Sadong Jaya. Sejumlah RM 500,000.00 telah diperuntukkan bagi PJM di Gedong, manakala baki selebihnya akan diperuntukkan bagi Simunjan dan Sadong Jaya.
Sebanyak 17 buah PJM sedang dilaksanakan di Gedong, meliputi kerja-kerja seperti membaik pulih 12 buah rumah, membina tiga titi baru bagi tiga buah rumah, menyelenggara Tanah Perkuburan Islam Gedong serta menyelenggara dan mengecat Masjid Gedong.
TDM akan terus komited dalam membantu rakyat yang memerlukan, terutama golongan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 sejajar dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat ke-28 yang menekankan peningkatan hubungan Tentera Darat bersama awam.

Turut hadir dalam acara berkenaan adalah Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, YB Datuk Sri Haji Mohd Abu Bakar bin Marzuki, Ahli Dewan Undangan Negeri Gedong, YB Datuk Haji Mohd Noroden bin Haji Majais, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mardzuki bin Muhammad serta penglibatan minima Pegawai Kanan dan anggota TDM.