
KUALA LUMPUR, 2 Februari 2021 - Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Darat, Puan Sri Datin Zainuriah binti Haji Mustapha, telah menyempurnakan Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangan Pakaian Sekolah Rendah kepada Formasi BAKAT Darat bertempat di Rumah BAKAT Markas Tentera Darat, hari ini.
Sumbangan kelengkapan sekolah tajaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berupa pakaian, beg, kasut, face mask dan alat tulis, telah disampaikan oleh Puan Sri Datin Zainuriah binti Hj Mustapha sebagai simbolik penyerahan sumbangan yang akan diagihkan kepada BAKAT formasi-formasi Tentera Darat.
Puan Sri Datin Zainuriah binti Hj Mustapha di dalam ucapannya menyatakan penghargaan kepada pihak MAIWP dan berharap agar program kolaborasi di antara Tentera Darat dan MAIWP sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan. Beliau turut berharap agar sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban penerima dari kalangan ahli-ahli BAKAT Darat.

Sementara itu, sebagai salah satu langkah pencegahan penularan wabak COVID-19 dan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP), Ahli-ahli Jemaah Tertinggi BAKAT Darat yang berada di luar Lembah Klang hanya menyaksikan majlis tersebut melalui Sidang Video dari formasi masing-masing.
Turut sama hadir ketika majlis ini ialah Timbalan Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Darat, Datin Ramlah binti Dawi, Naib Pengerusi 2 Jemaah Tertinggi BAKAT Darat, Datin Sdafra binti Hj Ahmad, Asisten Ketua Staf Sumber Manusia merangkap Penasihat BAKAT Darat, Mejar Jeneral Dato’ Mohd Sopi bin Mat Lepi dan Setiausaha Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Puan Noriza binti Abdul Rahim, selaku wakil dari MAIWP.