WAWASAN KAMI ADALAH
Satu Angkatan Tentera Darat yang moden, kredibel, seimbang, mampu dan bersedia melaksanakan misinya sebahagian daripada Angkatan Tentera Malaysia
MISI KAMI ADALAH
Mempertahankan kedaulatan Malaysia dan kepentingannya daripada ancaman luar serta membantu pihak berkuasa awam untuk mencapai keamanan dan kemakmuran negara
MATLAMAT KAMI ADALAH
Menentukan tahap kesiagaan yang tinggi (high state of readiness) dan mampu melaksanakan pelbagai bentuk misi dalam pelbagai dimensi (multi mission capable) bagi mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat dan negara
KAMI TETAP GAGAH TETAP SETIA
Kami yakin dan percaya yang Tentera Darat Malaysia adalah sebuah ketampukan yang Gagah dan Setia walau dalam apa jua keadaan. Taat setia kami tidak akan berbelah bagi terhadap Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dan Negara
TENTERA DARAT SATU KERANA BERSATU
Sertai Kami Tentera Darat Malaysia

 PTD29 JUL2023

LEFTENAN JENERAL DATO' TENGKU MUHAMMAD FAUZI BIN TENGKU IBRAHIM

PSAT DPMS DSMZ DSDK DPSM PAT KAT KMN KSD AMT AMK PNBB (Bosnia) rcds (UK) Sesko TNI psc (USA)

 

Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim telah dilahirkan pada 30 Januari 1970 di Kuala Terengganu. Beliau menerima pendidikan menengah di Sekolah Menengah Sains Dungun, Terengganu. Pada 19 Ogos 1988 beliau telah menyertai Angkatan Tentera Malaysia di Maktab Tentera DiRaja, Kem Sungai Besi sebelum dipilih menjalani Latihan Pegawai Kadet Luar Negara di Officer Cadet School (OCS), Singapore Armed Forces Training Institute (SAFTI) pada tahun 1989. Beliau telah ditauliahkan ke Batalion (Bn) Ke-20 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) di Seremban pada 6 Jun 1990.

Antara jawatan yang beliau sandang ketika di Bn Ke-20 RAMD adalah Ketua Platun, Ketua Platun 81mm Mortar dan juga sebagai Pegawai Risik. Beliau pernah berkhidmat sebagai Jurulatih Cawangan Ketua Platun dan Ajutan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Johor. Sebagai Ketua Kompeni beliau berkhidmat di Bn Kesembilan RAMD (Para) di Kem Terendak, Melaka.

Ketika berpangkat Leftenan Kolonel, beliau telah bertugas sebagai Pegawai Memerintah Bn Pertama RAMD (Istiadat), Pembantu Ketenteraan kepada Panglima Tentera Darat dan Pegawai Staf Kanan kepada Panglima Angkatan Tentera. Manakala selaku Kolonel, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Staf di Markas Divisyen Kedua Infantri di Pulau Pinang, Penasihat Ketenteraan kepada dua Menteri Pertahanan mulai 2012 hingga 2014. Pada 17 Mac 2016, beliau telah dinaikkan pangkat ke Brigedier Jeneral sebagai Panglima Briged Kesepuluh (Para) yang Ke-17. Pada 19 September 2018, beliau telah dinaikkan pangkat ke Mejar Jeneral dan dilantik sebagai Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan (AKS OLP) di Markas ATM, seterusnya berkuatkuasa 20 Julai 2019 beliau telah dilantik sebagai Panglima Divisyen Ketiga Infantri sehingga 23 Ogos 22 sebelum menjawat jawatan sebagai Panglima Latihan Tentera Darat yang ke-23 mulai 24 Ogos 22. Beliau sekali lagi dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral pada 18 Apr 23 dan diberi kepercayaan untuk menerajui kepimpinan Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat selaku Panglima Medan Barat Tentera Darat Ke-23. Di atas kecemerlangan khidmat bakti, beliau telah diberi kepercayaan dan pengiktirafan menjawat jawatan Timbalan Panglima Tentera Darat Ke-27 pada 6 Sep 23.

Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim pernah terlibat dalam gerakan di perbatasan dan pernah berkhidmat dengan Kontingen Pengaman Malaysia (MALCON) di Bosnia Herzegovina dibawah NATO Stabilisation Force (SFOR) pada tahun 1996 hingga 1997. Beliau juga pernah bertugas di Royal Military College Duntroon, Australia sebagai Jurulatih Pertukaran mulai 1998 hingga 1999. Selain itu, beliau juga pernah menyertai latihan bilateral dan multilateral di dalam serta luar negara seperti penglibatan dalam Eks SEMANGAT BERSATU dengan Angkatan Tentera Singapura, Eks SUMAN WARRIORS bersama dengan Angkatan Tentera Bersekutu FPDA di New Zealand serta Eks CARAT dengan US Marines Corps dan Eks KERIS STRIKE dengan USARPAC, Amerika Syarikat.

Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim adalah graduan United States Army Command and General Staff College, Fort Leavenworth, Amerika Syarikat, Sekolah Staf dan Komando Tentara Nasional Indonesia (SESKO TNI) di Bandung, Indonesia dan Royal College of Defence Studies (RCDS), di London, United Kingdom. Beliau juga adalah alumni Harvard Business School dan turut pernah terlibat dalam beberapa seminar di peringkat antarabangsa seperti Pacific Armies Management Seminar (PAMS), Military Legal and Operation Seminar (MILOPS) dan Pacific Amphibious Leadership Symposium (PALS) dan beliau juga pernah menghadiri persidangan Asean Chief of Army Multilateral Meeting (ACAMM).

Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim telah dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) oleh TYT Gabenor Negeri Melaka pada 14 Oktober 2016, Dato' Paduka Mahkota Selangor (DPMS) oleh Kebawah DYMM Sultan Selangor pada 11 November 2016, Darjah Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) oleh DYMM Tuanku Sultan Kedah Darul Aman pada 25 Ogos 2019 dan Darjah Dato' Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (D.S.M.Z) Yang Amat Terpilih yang membawa gelaran Dato' pada 28 Apr 2024. Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Datin Haslinda binti Mohd Ali yang berasal dari Johor Darul Takzim dan dikurniakan dengan empat orang cahaya mata, dua lelaki dan dua orang perempuan. Beliau adalah seorang yang aktif dan minat bersukan serta membaca.

Dikemaskini: 3 Mei 2024