PEGAWAI WARAN I SHAHAMRIE BIN ABDULLAH
BAT BSD PPS PPA
Beliau dilahirkan pada 4 Disember 1983 di Batu Pahat, Johor. Mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Tentera Darat, Kuala Lumpur. Pada tahun 1996 beliau telah melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi, Kuala Lumpur. Mula menceburi Perkhidmatan Tentera Darat pada 21 Jan 02 dan menjalani latihan asas ketenteraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) Port Dickson, Negeri Sembilan selama 6 bulan. Pada 22 Jul 02 beliau telah ditempatkan di Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Disepanjang perkhidmatan, beliau telah menunjukkan sikap dedikasi dan ketekunan kerja yang tinggi serta berusaha dengan gigih untuk meningkat maju dalam kerjaya ketenteraan. Hasil daripada kesungguhan dan dedikasi yang telah dipamerkan dalam tempoh 21 tahun perkhidmatan, beliau telah berjaya menyandang jawatan sebagai Sarjan Mejar Rejimen Tentera Darat yang Ke-9.
Pegawai Waran I Shahamrie bin Abdullah juga telah memegang beberapa Jawatan lain sepanjang tempoh perkhidmatan, diantaranya adalah Anggota Repalman, Probos, Sjn Probos, SSjn Probos, Kompeni Sarjan Mejar di Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja. Pada 4 Jan 2018 beliau telah dinaikkan pangkat ke Pegawai Waran I dan mengisi perjawatan Sarjan Mejar Rejimen di Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja mulai 4 Jan 2018 hingga 4 Okt 19. Selain daripada itu, beliau juga pernah dilantik sebagai Sarjan Mejar Rejimen Istiadat Tentera Darat mulai 5 Okt 19 hingga 26 Okt 23. Pada tanggal 27 Okt 23, beliau telah diberi kepercayaan dan mandat oleh pucuk pimpinan tertinggi Tentera Darat untuk menjawat jawatan sebagai Sarjan Mejar Rejimen Tentera Darat yang Ke-9.
Kursus-kursus kerjaya dan kepakaran yang telah dihadiri beliau di sepanjang Perkhidmatan adalah Kursus Kadar di 1 RAMD, Asas Paracut di PULPAK, Ketua Seksyen di PULADA, Undang-Undang Ketenteraan di PULAPOT, Penolong Ketua Platun di PULADA, Keselamatan Fizikal dan Mencegah Jenayah di PULAPOT, Pegawai Tidak Tauliah Rendah di IPDA, Pegawai Waran di IPDA, Sarjan Mejar Rejimen di ATD - Kolej PTT dan Rejimental Sarjan Mejar (Trainer and Leader Phase) di Safwos Leadership School. Semua kursus-kursus yang dihadirinya memperolehi keputusan yang cemerlang dan membanggakan.
Pada 18 Mac 17 beliau telah mendirikan rumah tangga bersama Puan Nor Izan Zazila bte Idris. Beliau juga memanfaatkan masa lapang beliau dengan aktiviti kerohanian disamping beriadah bersama keluarga dan beliau adalah seorang yang peramah serta amat disegani oleh rakan-rakan.
Di dalam jawatan ini, beliau bertindak sebagai Penasihat kepada Panglima Tentera Darat di atas segala arahan dan Polisi yang wujud ataupun cadangan yang melibatkan peraturan perkhidmatan anggota lain-lain pangkat. Beliau juga bertindak sebagai penasihat kepada susunan acara Istiadat Perbarisan Rasmi Tentera Darat seperti penganugerahan, pertukaran dan mengarak panji-panji, Perbarisan Pertauliahan Diraja Pegawai-Pegawai Kadet, Istiadat Pengkebumian dan Perbarisan Hari Kebangsaan. Sebagai Sarjan Mejar Rejimen Tentera Darat, beliau juga bertanggungjawab sebagai penasihat dan penyelaras dalam semua perbarisan di semua Formasi, Pusat Latihan dan Pasukan di bawah naungan Tentera Darat.
Tarikh Kemaskini: 3 November 2023