JENERAL DATUK SERI MOHAMMAD BIN AB RAHMAN
PJN PSAT DSPK SMW DPKK (Kelantan) PAT KAT KMN PJM PNBB (Congo) dssc mpat psc MSc Soc Def and Strat Studies (UKM) MDef Studies (UC) BSc Comp Sc (UNCC)
Jeneral Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman dilahirkan di Machang, Kelantan pada 15 Mac 1964. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Sains Kelantan sebelum melanjutkan pelajaran di Cawangan Putera, Maktab Tentera Diraja pada tahun 1980. Setelah menamatkan latihan dari Maktab Tentera Diraja pada bulan Disember 1981, Jeneral Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sains Komputer dari University of North Carolina at Charlotte, Amerika Syarikat. Beliau telah ditauliahkan sebagai seorang pegawai muda ke dalam Kor Rejimen Askar Melayu Diraja pada 1 Julai 1987.
Di sepanjang perkhidmatan, Jeneral Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman telah menghadiri pelbagai kursus di dalam dan juga di luar negara. Antara lain adalah Kursus Staf dan Taktik Gred 2 di Waiouru, New Zealand, Army Command and Staf College di Queenscliffe, Australia, Law of Armed Conflict di Sydney, Australia dan Defence and Strategic Studies Course di Canberra, Australia. Beliau juga merupakan graduan daripada Maktab Pertahanan Angkatan Tentera, Kuala Lumpur. Selain itu, beliau juga memegang Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan dari University of Canberra, Australia dan Ijazah Sarjana Sains Sosial (Kajian Pertahanan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Jeneral Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman telah diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan pemerintah dan staf sepanjang perkhidmatan beliau di dalam Angkatan Tentera Malaysia dan di luar negara. Jawatan staf utama yang pernah disandang oleh beliau adalah Pembantu Ketenteraan kepada Panglima Tentera Darat, Pegawai Staf di dalam Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Republik Demokratik Congo (MONUC), Pemangku Pengarah Operasi Domestik di Markas Angkatan Bersama, Ketua Staf Markas Briged Ketiga Infantri, Ketua Staf Markas Divisyen Ketiga Infantri, Pengarah Kanan di Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS) dan Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan di Markas Tentera Darat.
Pelbagai jawatan sebagai pemerintah juga telah disandang oleh beliau daripada peringkat Batalion hingga ke pemerintahan peringkat Medan di dalam Tentera Darat. Beliau merupakan Pegawai Memerintah Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja, Panglima Briged Kedua Infantri, Panglima Divisyen Ketiga Infantri dan Panglima Latihan Tentera Darat sebelum memegang jawatan Panglima Medan Barat Tentera Darat pada bulan Jun 2020. Pada 19 Disember 2020, Jeneral Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman telah dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat Ke-25.
Pada 22 Mac 2023, hasil kecemerlangan serta dedikasinya kepada perkhidmatan, Jeneral Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman telah dinaikkan pangkat dan dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-29.
Jeneral Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman telah mendirikan rumah tangga dengan Datin Seri Ramlah binti Dawi dan dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata iaitu dua orang perempuan dan seorang lelaki. Sukan kegemaran beliau adalah golf dan beliau menggunakan masa terluang dengan membaca.
Dikemaskini: 22 Mac 2023