WAWASAN KAMI ADALAH
Satu Angkatan Tentera Darat yang moden, kredibel, seimbang, mampu dan bersedia melaksanakan misinya sebahagian daripada Angkatan Tentera Malaysia
MISI KAMI ADALAH
Mempertahankan kedaulatan Malaysia dan kepentingannya daripada ancaman luar serta membantu pihak berkuasa awam untuk mencapai keamanan dan kemakmuran negara
MATLAMAT KAMI ADALAH
Menentukan tahap kesiagaan yang tinggi (high state of readiness) dan mampu melaksanakan pelbagai bentuk misi dalam pelbagai dimensi (multi mission capable) bagi mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat dan negara
KAMI TETAP GAGAH TETAP SETIA
Kami yakin dan percaya yang Tentera Darat Malaysia adalah sebuah ketampukan yang Gagah dan Setia walau dalam apa jua keadaan. Taat setia kami tidak akan berbelah bagi terhadap Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dan Negara
TENTERA DARAT SATU KERANA BERSATU
Sertai Kami Tentera Darat Malaysia

 PTD KE 28 OKT 22

JENERAL DATUK MUHAMMAD HAFIZUDDEAIN BIN JANTAN

PSAT PGDK PAT KAT BSK PJM PNBB (Bosnia) rcds (UK) MM (AIM) Manila MSoc Sc in Def Studies (UKM) Dip Mgmt Sc (INTAN) mpat psc (USA)

Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan dilahirkan di Segamat, Johor pada 18 April 1968. Selepas menamatkan pendidikan menengah di Maktab Tentera Diraja pada tahun 1985, beliau telah memenuhi keinginan cita-citanya dengan memulakan karier ketenteraannya dalam Angkatan Tentera Malaysia sebagai Pegawai Kadet di Maktab Tentera Diraja pada 19 Ogos 1986. Beliau telah ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda dalam kor Rejimen Askar Melayu Diraja pada 30 Julai 1988 dan tugasan pertamanya adalah sebagai Ketua Platun di Batalion Kesepuluh Rejimen Askar Melayu Diraja.

Sepanjang perkhidmatan, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan telah diberi kepercayaan untuk memegang pelbagai jawatan penting pada peringkat Tentera Darat mahupun Kementerian Pertahanan. Pelbagai pengalaman dan pengetahuan yang diraih oleh beliau sebagai pemerintah, staf dan jurulatih telah membentuk kemahiran kepimpinan serta menyuburkan profesionalisme ketenteraan. Kewibawaan kepimpinan beliau sebagai pemerintah yang bermula sebagai Ketua Platun telah diteruskan dalam hierarki pemerintahan Tentera Darat dengan memegang jawatan sebagai Ketua Kompeni di Batalion Kedua Puluh Tiga Rejimen Askar Melayu Diraja (1999-2000), Pegawai Memerintah di Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja (2003-2005), Panglima Briged Kelima Infantri Malaysia (2018-2020), Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia (2020) dan Panglima Medan Barat Tentera Darat (2021- 2023). Beliau turut dipertanggungjawabkan dalam pelbagai penugasan pegawai staf antaranya ialah Pegawai Staf 1 Tadbir di Markas Medan Tentera Darat (2005), Ketua Staf di Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (2009-2010), Ketua Penolong Setiausaha di Bahagian Dasar Kementerian Pertahanan (2014-2016), Ketua Staf di Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (2016-2017) dan Ketua Pengarah Pembangunan di Markas Tentera Darat - Cawangan Perancangan dan Pembangunan (2017). Beliau juga mempunyai pengetahuan dalam aspek latihan ketenteraan apabila pernah bertugas sebagai Juruarah di Maktab Turus Angkatan Tentera (2006-2008), Kolonel Doktrin di Markas Latihan Tentera Darat (2011-2012) dan Komandan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (2012-2014). Berdasarkan sorotan perkhidmatan yang cemerlang ini, beliau telah diberi kepercayaan oleh barisan kepimpinan Kementerian Pertahanan dan Tentera Darat untuk memegang jawatan Timbalan Panglima Tentera Darat Ke-26 pada 29 Mac 2023. 

Pada 6 Sep 2023, hasil kecemerlangan serta dedikasinya kepada perkhidmatan, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan telah dinaikkan pangkat dan dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-30.

Dalam perkembangan pendidikan ketenteraan pula, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan telah menghadiri pelbagai kursus dan pengajian di dalam serta di luar negara. Antara kursus dan pengajian utama yang telah dihadiri beliau ialah Diploma Sains Pengurusan di Institut Tadbiran Awam Negara (1997-1998), Infantry Officer Advance Course di Amerika Syarikat (1998), Command and General Staff College di Amerika Syarikat (2000- 2001), Master in Management di Filipina (2005-2006), Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (2008-2009), dan Royal College of Defence Studies di United Kingdom (2017-2018). Sebagai pengiktirafan terhadap khidmat bakti dan jasa yang dicurahkan sepanjang perkhidmatan, beliau telah dianugerahkan dengan pelbagai darjah kebesaran, pingat dan anugerah, iaitu antaranya ialah Kesatria Angkatan Tentera (2004), Pingat Jasa Malaysia (2008), Pahlawan Angkatan Tentera (2014), Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (2019) dan Panglima Setia Angkatan Tentera (2021).

Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan telah mendirikan rumah tangga dengan pasangan pilihan hatinya, Datin Hartiah binti Hamzah dan dikurniakan tiga orang anak iaitu seorang lelaki serta dua orang perempuan. Semasa waktu lapang, beliau sering membaca pelbagai jenis bahan bacaan bermanfaat serta beriadah terutamanya berbasikal dan melancong bersama keluarga.

 Tarikh Kemaskini: 7 Sep 2023