22 Oktober 2019
Kemaskini Akhir: 14 Oktober 2019.
A- A A+

merah biru ungu   benderaUS64  lainbahasa2

SMR KE 8 TERKINI BIODATA

  PEGAWAI WARAN 1 MOHD PAUZI BIN MOHD ALI

 AMN BAT PPN PCK PJK 

 

Beliau dilahirkan pada 3 Oktober 1971 di Senggarang, Batu Pahat, Johor. Mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Simpang Renggam, Kluang Johor. Pada tahun 1984 beliau telah melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Dato’ Abdul Rahman Andak, Simpang Renggam, Kluang Johor. Mula menceburi Perkhidmatan Tentera Darat pada 10 Oktober 1990 di Pusat Latihan Rekrut (PLR) dahulunya dan sekarang dikenali sebagai Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) selama 6 bulan di Port Dickson, Negeri Sembilan dan seterusnya pada 5 Mei 1991 beliau ditempatkan di Batalion Ke Lapanbelas Rejimen Askar Melayu Diraja,Kem Seberang Takir, Kuala Terengganu. Disepanjang perkhidmatan, beliau telah menunjukkan sikap dedikasi dan ketekunan kerja yang tinggi dan berusaha dengan gigih untuk meningkat maju dalam kerjaya ketenteraan. Hasil daripada kesungguhan dan dedikasi yang telah dipamerkan dalam tempoh 29 tahun perkhidmatan, beliau telah berjaya menyandang jawatan sebagai Sarjan Mejar Rejimen Tentera Darat yang Ke-8.

Pegawai Waran Satu Mohd Pauzi bin Mohd Ali juga telah memegang beberapa Jawatan lain sepanjang tempoh perkhidmatan, diantaranya adalah Anggota Repalman, Penolong Ketua Seksyen, Ketua Seksyen, Sarjan Platun dan Kompeni Sarjan Mejar di Batalion Kesembilan Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) dan pada 3 Jan 2007 beliau telah dinaikkan pangkat ke Pegawai Waran Satu dan mengisi perjawatan Sarjan Mejar Rejimen di Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja mulai 24 Jan 2007 hingga 29 Jul 2008. Selain daripada itu, beliau telah diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai Sarjan Mejar Rejimen di Markas 4 Division Infantri Malaysia mulai 30 Jul 2008 hingga 22 Sep 2011, Sarjan Mejar Rejimen Markas Medan mulai 23 Sep 2011 hingga 30 Jun 2013 dan Sarjan Mejar Rejimen Istiadat mulai 1 Jul 2013 hingga 4 Okt 2019. Pada tanggal 5 Okt 2019, beliau telah diberi kepercayaan dan mandat oleh pucuk pimpinan Tentera Darat untuk menjawat jawatan sebagai Sarjan Mejar Rejimen Tentera Darat yang Ke-8.

Kursus-kursus kerjaya dan kepakaran yang telah dihadiri beliau di sepanjang Perkhidmatan adalah Kursus Asas Tempur Tanpa Senjata (TTS) di 8 Komp KPTD, Kadar Pasukan di 9 RAMD Para, Asas Payung Terjun di PULPAK, Senjata Bantuan Komp di 18 RAMD, Jurulatih Risik Gempur di PULPAK, Jurulatih Abselling dan Penyelamat Udara di PULPAK, Ketua Penerjunan di PULPAK, Ketua Seksyen di PULADA, KPSP di PUSARTI, Pengesan Tempur di PULADA, Sjn Platun di PULADA, KPSMK di IPDA dan KPPTTK di IPDA. Semua kursus-kursus yang dihadirinya memperolehi keputusan yang cemerlang dan membanggakan.

Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Zuhaniz binti Masud. Sepanjang perkongsian hidup, mereka telah dianugerahkan dua orang cahayamata lelaki dan dua orang cahayamata perempuan yang memberi kekuatan untuk beliau lebih berjaya demi anak-anak yang disayangi. Beliau juga memanfaatkan masa lapang beliau dengan aktiviti kerohanian disamping beriadah bersama keluarga dan beliau adalah seorang yang peramah serta amat disegani oleh rakan-rakan.

Di dalam jawatan ini, beliau bertindak sebagai Penasihat kepada Panglima Tentera Darat di atas segala arahan dan Polisi yang wujud ataupun cadangan yang melibatkan peraturan perkhidmatan anggota lain-lain pangkat. Beliau juga bertindak sebagai penasihat kepada susunan acara Istiadat Perbarisan Rasmi Tentera Darat seperti penganugerahan, pertukaran dan mengarak panji-panji, perbarisan Pertauliahan Diraja Pegawai-pegawai Kadet, Istiadat Pengkebumian Kebangsaan dan Perbarisan Hari Kebangsaan. Sebagai Sarjan Mejar Rejimen Tentera Darat, beliau juga bertanggungjawab sebagai penasihat dan penyelaras dalam semua perbarisan di semua Formasi, Pusat Latihan dan Pasukan.