spread
UTAMA | MENGENAI KAMI | Profile | Perintah Ulung
logo_perintah_ulung

bintang_copy

PERINTAH ULUNG
PANGLIMA TENTERA DARAT KE-26

Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia

Alhamdulillah, segala puji dan syukur saya rafakkan ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana berkat hidayah dan inayahNya jua maka pengambilalihan tampuk kepimpinan Tentera Darat telah disempurnakan pada 16 Disember 2016. Dengan penuh takzim, saya menerima pelantikan ini sebagai satu amanah yang memerlukan iltizam yang tinggi daripada saya di samping komitmen jitu seluruh warga Tentera Darat.

Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pucuk kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia dan pihak Kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan di atas kepercayaan penuh yang diberikan kepada saya untuk menerajui Tentera Darat. Di sini, saya sepenuh hati melafazkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. Penghargaan juga saya tujukan kepada semua Panglima Tentera Darat yang terdahulu kerana meninggalkan legasi kepimpinan yang unggul dengan memberikan nilai tambah yang berterusan terhadap Tentera Darat.

Para Perwira, Bintara dan Perajurit sekalian,

Kecemerlangan angkatan yang saya warisi ini adalah suatu limpahan rahmat oleh Allah Subhanahu Wataala. Namun, penambahbaikan yang berterusan perlu dilakukan seiring dengan perubahan lanskap geostrategik dan geopolitik serta kemajuan teknologi pada masa kini. Justeru, saya menyeru

kepada segenap lapisan warga Tentera Darat untuk mengorak langkah bersama saya supaya organisasi ini kekal relevan sebagai sebuah ketumbukan utama benteng pertahanan Negara. Sejajar dengan aspirasi Negara dan Angkatan Tentera Malaysia, saya berikrar dengan penuh taat setia untuk berbakti demi kecemerlangan Tentera Darat berpandukan lima teras berikut:

Pertama - Perkasakan Kesiagaan Angkatan. Perkembangan senario keselamatan antarabangsa dan rantau ini telah mencorakkan lanskap strategik keselamatan negara. Keadaan ini menuntut Tentera Darat agar memperkasakan kesiagaannya bagi menghadapi segala bentuk ancaman dan cabaran dalam pelbagai dimensi sama ada tradisional mahupun bukan tradisional. Oleh yang demikian, saya berkehendakkan kesiagaan Tentera Darat diperkasakan melalui pembangunan modal insan, doktrin dan angkatan (Force Development). Tentera Darat mampu membina satu ketumbukan yang ampuh melalui latihan individu dan kolektif yang praktikal, realistik dan berkesan. Pembangunan doktrin dan manual hendaklah terus dibangunkan seiring dengan perolehan peralatan-peralatan baharu serta perubahan corak peperangan masa kini dan masa hadapan. Pembangunan kedua-dua aspek ini mestilah diuji dan dinilai keberkesanannya menerusi latihan yang berterusan di setiap jajaran pemerintahan Tentera Darat. Pembangunan modal insan dan doktrin hendaklah didokong dengan perancangan pembangunan angkatan yang mampan. Justeru itu, Rancangan Pembangunan Strategik Tentera Darat Army 4NextG perlu diteruskan bagi memastikan usaha untuk memperkasakan kesiagaan Tentera Darat dapat direalisasikan di masa hadapan.

Kedua - Pengukuhan Kesepaduan Angkatan (Cohesion). Kita semestinya berbangga kerana ketumbukan Tentera Darat pada hari ini berdiri teguh siaga kerana sikap warganya yang sentiasa bersatu dalam melaksanakan tugas mahupun ketika menghadapi pelbagai cabaran. Kesatuan ini memerlukan pengukuhan kesepaduan angkatan yang bertunjangkan kesetiaan, kepatuhan, semangat setiakawan dan sifat kepunyaan (Sense of Belonging) terhadap nilai sepunya (Shared Value) yang dijunjung oleh Tentera Darat. Etos ketenteraan ini perlu disuburkan melalui sistem rejimental supaya kesepaduan yang sedia terwujud dibendung dari perpecahan. Tentera Darat sebagai sebuah keluarga besar memerlukan barisan kepimpinan yang setia kepada anggota bawahannya serta warga yang patuh kepada arahan dan peraturan yang menunjangi disiplin serta kesepaduan kita. Oleh yang demikian, saya ingin memperkenalkan pada hari yang penuh bermakna ini slogan “Tentera Darat Satu, Kerana Bersatu”.

Ketiga - Peneguhan Profesionalisme. Bagi memenuhi aspirasi rakyat yang sentiasa menagihkan keamanan berterusan menerusi kewujudan Tentera Darat, setiap warganya perlu bersikap profesional. Profesionalisme di dalam Tentera Darat mestilah berdasarkan kepada profil keperajuritan (Soldier’s Profile) yang memerlukan setiap warganya mempunyai perawakan fizikal yang unggul, berketerampilan dan berkemahiran tinggi. Peneguhan ini dapat dimanifestasikan melalui peningkatan pendidikan dan latihan secara berterusan dan efektif yang mampu menjana keupayaan dan kapasiti warga Tentera Darat dalam menangani cabaran dari pelbagai spektrum. Teras ini perlu digemblengkan secara holistik oleh setiap lapisan pemerintahan untuk sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan dalam pelaksanaan tugas yang diamanahkan kepada Tentera Darat. Sesungguhnya peneguhan profesionalisme ini akan menambah keyakinan rakyat dan negara terhadap keupayaan Tentera Darat dalam menggalas tugas teras mempertahankan kedaulatan tanah air serta memberi sumbangan terhadap pembangunan negara.

Keempat - Pemantapan Pengurusan Organisasi. Kepimpinan sebelum ini telah berjaya memacu Tentera Darat sebagai satu angkatan yang mempunyai pengurusan organisasi yang mantap, berwibawa dan diiktiraf umum. Kecemerlangan ini tidak seharusnya membuat kita leka dan selesa. Sebaliknya, ia hendaklah dijadikan pemangkin untuk kita terus berusaha menggarap kejayaan yang lebih cemerlang. Sesungguhnya mengekalkan kecemerlangan ini lebih sukar dari mencapainya. Oleh yang demikian, saya berkehendakkan agar aspek pemerintahan, kepimpinan dan pengurusan yang berwibawa dihayati supaya setiap langkah yang diambil adalah berteraskan integriti dan ketelusan. Amalan ini hendaklah diterapkan secara komprehensif bagi mencegah timbulnya dorongan tindakan di luar batasan peraturan dan penyalahgunaan kuasa. Ianya boleh dikawal selia melalui metod menyemak dan mengimbang (Checks and Balances) di setiap formasi. Setiap lapisan kepimpinan perlu sentiasa bersedia mendepani cabaran pengurusan organisasi dengan mengoptimumkan sumber yang terhad tanpa menjejaskan tugas hakiki Tentera Darat. Disamping itu, amalan inovasi serta kreativiti perlu dibudayakan supaya segala sumber atau aset dapat diuruskan dengan berhemah, perkhidmatan diberikan dengan berkualiti dan risiko yang memudaratkan mampu dielakkan. Maka, setiap lapisan pemerintahan dipertanggungjawabkan untuk mengamalkan urus tadbir yang baik (Good Governance) demi mencapai pemantapan pengurusan organisasi Tentera Darat secara menyeluruh.

Kelima - Peningkatan Kualiti Hidup. Tentera Darat akur akan keperluan meningkatkan kualiti hidup warganya sebagai salah satu tanggungjawab pemerintahan (Command Responsibility) bagi mengekalkan moral, semangat dan motivasi warganya. Saya percaya kualiti hidup yang sempurna akan mendorong warga Tentera Darat supaya lebih fokus dan komited dalam kerjaya yang mulia ini. Keutamaan saya adalah untuk memastikan peningkatan infrastruktur bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif di tempat kerja, penginapan anggota dan rumah keluarga. Tidak dilupakan juga, kualiti hidup perlu merangkumi perkhidmatan yang diberikan kepada anggota dan keluarga Tentera Darat. Dalam nada yang sama, saya juga berkehendakkan agar budaya senggaraan disematkan dalam setiap jiwa warga Tentera Darat bagi memastikan kemudahan-kemudahan yang disediakan sentiasa terpelihara, dilanjutkan tempoh penggunaanya dan dikurangkan kos penyelenggaraannya. Di samping itu, program-program yang sistematik dan terancang hendaklah dilaksanakan bagi memastikan kualiti hidup keluarga serta pendidikan anak-anak anggota sentiasa terjamin. Tentera Darat akan sentiasa bekerjasama dengan pihak yang berkepentingan (Stakeholders) untuk mengadakan program-program yang berupaya meningkatan kualiti hidup warganya.

Marilah sama-sama kita kuatkan azam dan bulatkan tekad untuk menyemai semangat kesatuan yang tinggi dalam kalangan warga Tentera Darat. Setiap pemimpin perlu membuktikan daya kepimpinan yang unggul dan menanamkan sikap sayangkan organisasi oleh seluruh anggota ketumbukan ini. Bertitik-tolak dari kukuhnya barisan kesatuan, ayuhlah kita berdiri dengan teguh siaga dan mengorak langkah sederap dengan gah perkasa untuk mencapai kejayaan serta kegemilangan demi kedaulatan bumi bertuah ini.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

“TENTERA DARAT SATU, KERANA BERSATU”

..................................................................................
JENERAL DATO’ SRI ZULKIPLE BIN HJ KASSIM
PANGLIMA TENTERA DARAT
7 JANUARI 2017

Kemaskini pada Sabtu, 07 Januari 2017 13:20