spread
UTAMA | MAKLUMAT | Berita | Perajurit Muda Menyambung Legasi TD
23
May
Perajurit Muda Menyambung Legasi TD
Ditulis oleh www.btdmonline.net   

23051701

NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda (PM) Lelaki Siri 182/16 berkekuatan seramai 1,545 PM diiringi oleh gabungan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja dan Kor Armor Diraja di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 20 Mei 2017.

Latihan asas PM dilaksanakan selama enam bulan yang mana latihan dijalankan secara konvensional mengikut objektif yang telah diselaraskan meliputi pembinaan karakter, pengetahuan am ketenteraan, pengendalian senjata, latihan jasmani dan kemahiran perang serta pengukuhan aspek kerohanian dan moral sebelum diserapkan ke pelbagai kor dalam TD.

Lima PM dianugerahkan Perajurit Muda Terbaik mengikut kategori dimulai oleh PM Azlan Azuwi yang dianugerahkan PM Keseluruhan Terbaik dan Akademik Terbaik diberikan kepada PM Mohamed Ali S.M.A Mansor manakala Kecergasan Jasmani Terbaik PM Muhammad Safwan Mohammad, Kawad Terbaik PM Muhammad Shah Nizam Hassan serta Penembak Terbaik dianugerahkan kepada PM Nervynn Nicolsen Elizabeth.

Dalam ucapan PTD, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh PM diatas kejayaan kerana telah berjaya mengharungi segala perit jerih sepanjang manjalani latihan asas di PUSASDA dan berharap agar kecemerlangan kerjaya PM akan lebih terserlah dan dapat diterjemah dalam konteks mempertahankan kedaulatan negara kelak.

“Perjuangan yang dipikul melibatkan pemartaban agama, membela bangsa dan memelihara kedaulatan negara dan usahlah disandarkan kepada kemahuan mengejar pangkat, jawatan serta ingin mendapatkan pujian semata-mata, berjuanglah dengan penuh keikhlasan dan rasa tanggungjawab kerana kita adalah Satria, Nadi Negaraku,” tegasnya.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Panglima Medan Timur Lt Jen Datuk Mohd Zaki Hj Mokhtar dan Panglima Latihan Tentera Darat Mej Jen Dato’ Tengku Ahmad Noor Tuan Chik.